top of page
Search
Writer's pictureMohammad Tazli Azizan

SALAH FAHAM DALAM MENGUASAI AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ABAD KE 21 (PAK21)


Sepanjang saya terlibat dalam membantu para pendidik sejak beberapa tahun yang lalu untuk memperkasakan amalan pengajaran dan pembelajaran mereka, saya melihat ada beberapa salah faham dalam kalangan pendidik tentang amalan Pembelajaran Abad ke 21 (PAK21) yang diperkenalkan oleh KPM.


1. PAK21 hanyalah perubahan teknologi


Ramai yang mengadu kerana tidak dapat mengamalkan amalan PAK21 atas alasan tidak ada teknologi yang bersesuaian- internet yang lemah dan mereka tidak berada di kawasan bandar, justeru membantutkan hasrat mereka untuk melakukan amalan PAK21.

PAK21 tiada langsung terkait dengan teknologi, meskipun teknologi itu membantu. Maksud saya, kalau tidak ada teknologi, hatta di perkampungan pedalaman sekalipun, PAK21 tetap boleh dilaksanakan.


PAK21 menumpukan kepada penerapan kemahiran seperti berfikir kritikal, penyelesaian masalah, kreativiti, berkolaborasi dan berkomunikasi dengan cara menerapkan elemen ini ke dalam kandungan sedia ada di dalam kelas. Contohnya dalam mengajar anak-anak tentang peribahasa, bukan sahaja diajar mereka untuk latih tubi menghafal dan memahami maksudnya, tetapi boleh meminta mereka untuk berdiskusi dengan rakan sebelah, senario bagaimanakah selalunya peribahasa tersebut digunakan.


Nyatanya, pengajaran tidak lagi bersifat didaktik dan sehala semata-mata, bahkan amalan diskusi berkumpulan, amalan berkolaborasi sesama pelajar untuk menyelesaikan masalah adalah tunjang utama dalam menjayakan PAK21. Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar ini akan lebih trampil dan berkeyakinan apabila mereka berhadapan dengan sesuatu yang baharu dalam hidup mereka.


Teknologi meskipun membantu untuk lebih interaktif dengan pelajar, namun ia tidak boleh dijadikan batu penghalang untuk menjayakan abad ke 21. Maksudnya, kalau anda BUKAN Google Certified Teacher, Apple Teacher, Microsoft Teacher dan anda tidak ada gajet ipad, microsoft surface atau tidak ada laptop sekalipun, ia bukan halangan untuk menjayakan PAK21. Kertas mahjong dan marker pun memadai!


2. PAK 21 hanyalah Parking Lot, Traffic Light dan I-THINK


PAK21 ialah satu amalan pengajaran dan pembelajaran yang berpaksikan kepada pelajar (student centred learning- SCL), maka spektrum itu sangat luas sebenarnya apabila terkait dengan amalan ini. Misalnya di dalam spektrum SCL, ada amalan pembelajaran aktif, pembelajaran kooperatif, amalan flipped classroom, amalan berasaskan gamifikasi, challenged based learning, inquiry based learning, project based learning dan juga problem based learning, dan pelbagai lagi.


Konsep parking lot, traffic light atau i-think hanyalah salah satu teknik di dalam amalan-amalan yang saya sebutkan tadi (samada dalam pembelajaran aktif, inquiry based learning) dan sebenarnya banyak lagi teknik yang boleh diguna untuk memastikan pelajar berupaya mencapai kemahiran-kemahiran yang saya sebutkan di atas.


Setiap amalan pedagogi yang dipilih pula dipilih bergantung kepada keberhasilan pembelajaran yang kita mahukan. Kalau nak hasilkan pelajar yang ada kemahiran berfikiran kritikal, bolehlah guna hanya active learning. Kalau nak hasilkan pelajar yang ada kemahiran kolaborasi, boleh mulakan dengan collaborative learning disambung dengan cooperative learning. Kalau kita mahukan pelajar yang ada kemahiran menyelesaikan masalah, boleh ambil kaedah problem based learning.


Jadi, sekiranya anda sebagai pendidik hanya mendapat arahan melaksanakan i-think, traffic light atau parking lot sahaja, dan dengan itu menjadikan anda berjaya melaksanakan PAK21, ternyata itu adalah tafsiran yang salah.


Jika benar anda mahukan amalan PAK21 itu dijayakan, kena ukur betul-betul adakah kemahiran-kemahiran abad ke 21 itu dikuasai. Jadi pada apa sekalipun kaedah digunakan, asalkan anda nampak perubahan pelajar sebelum ini tak pandai berkolaborasi, sekarang dah pandai. Dahulu berat mulut sekarang dah boleh berikan idea, itu adalah tanda-tanda anda berjaya laksanakan PAK21.


3. PAK 21 tak penting, peperiksaan bertulis lagi penting untuk ukur kemampuan pelajar


Ini adalah satu salah faham yang sangat besar. Tahukah tuan-puan bahawa pada hari ini dan juga pada masa akan datang, mereka yang diambil untuk bekerja terutamanya dalam bidang profesional tidak lagi ditentukan sangat atas pencapaian CGPA mereka? Sebaliknya ia ditentukan oleh kemahiran-kemahiran mereka yang saya sebutkan tadi kerana dengan kemahiran ini dapat membantu mereka dalam abad ke 21.

Saya sendiri pernah melihat pelajar saya yang gred mereka biasa-biasa, tetapi kerana ada keyakinan diri yang tinggi, dan kemahiran berkomunikasi, berkolaborasi dan ada daya kreativiti yang baik untuk menyelesaikan masalah, mereka telah berupaya berada di puncak kerjaya mereka.


Dengan kemahiran-kemahiran abad ke21 ini jugalah yang akan bantu tingkatkan daya saing negara.


Anda tahu salah satu sebab kenapa ada banyak lambakan graduan universiti yang tidak bekerjaya walaupun dapat gred yang baik? Inilah salah satunya- gred cantik atas kertas tapi tidak ada kemahiran. Dapat gred cantik pula kerana amalan latih tubi, rote learning, teka soalan yang akan keluar peperiksaan. Maka begitulah kesudahannya.


Jadi sebenarnya apa yang saya nak sentuh di sini ialah amalan PAK21 ni bukan lagi jatuh fardhu kifayah atas para pengajar, bahkan dah jatuh wajib pada semua pendidik untuk melakukan perubahan dalam pengajaran mereka ke arah PAK21.


Walaupun saya agak kritikal dalam inisiatif KPM yang lain seperti kandungan silibus yang tinggi dan sukar, tapi pada saya anjuran PAK21 ini harus diberikan pujian dan saya berharap latihan berterusan diberikan kepada para guru untuk menjayakan agenda ini (di samping dapat mengurangkan beban perkeranian mereka).


Di sinilah kami di pihak Skolar Malaysia mahu menyahut seruan untuk sama-sama membantu pendidik agar dapat memperkasakan kemahiran PAK21 dalam diri mereka dahulu, sebelum sampaikan kepada anak-anak pelajar pula. Jadi, tidaklah kita menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.


Jika anda mencari program-program latihan untuk pemerkasaan pendidik dalam abad ke-21, Skolar Malaysia boleh membantu. Hubungi kami untuk maklumat lanjut!




780 views0 comments

Comments


bottom of page